KUALA LUMPUR – Setiap rang undang-undang (RUU) yang digubal dilakukan secara teliti, inklusif dan tidak tergesa-gesa, khususnya yang memberi implikasi besar terhadap hak rakyat dan ekonomi negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, penambahbaikan kaedah penggubalan RUU menjadi keutamaan kerajaan bagi menjamin kualiti, ketelusan dan keterangkuman sebelum sesuatu RUU dibentangkan di Parlimen.
“Pendekatan ini telah diterapkan dalam penggubalan beberapa RUU dan akta utama, termasuk RUU Ombudsman, RUU Kebebasan Maklumat, RUU Pendanaan Politik serta akta penting yang diluluskan pada tahun 2025 seperti Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] dan Akta Antibuli 2026 [Akta 876], yang kesemuanya melalui proses libat urus komprehensif sebelum pembentangan.
“Berkenaan proses libat urus yang diadakan, sebagai contoh bagi RUU Pendanaan Politik yang sedang diteliti, BHEUU, JPM telah mengadakan sebanyak 20 siri sesi libat urus (SLU) bersama-samapihak berkepentingan pada peringkat akar umbi.
“Daripada jumlah itu, 12 siri SLU peringkat negeri melibatkan penyertaan 1,544 peserta merangkumi pegawai Kerajaan Persekutuan dan Negeri, parti politik, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, wakil dewan perdagangan, persatuan perniagaan, NGO, CSO, ahli akademik dan golongan belia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkenaan langkah kerajaan memastikan kualiti penggubalan undang-undang sentiasa tinggi dan tidak tergesa-gesa, khususnya bagi undang-undang yang mempunyai implikasi besar kepada hak rakyat dan ekonomi.
Jelasnya, pendekatan menyeluruh itu mencerminkan keprihatinan kerajaan untuk memastikan suara akar umbi diambil kira, sekali gus memperkukuh amalan demokrasi penyertaan (participatory democracy) dan meningkatkan ketelusan dalam proses penggubalan undang-undang.
Selain itu, ujarnya, penglibatan Ahli Parlimen dalam fasa prapenggubalan turut diperkukuh melalui sesi taklimat bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan kefahaman awal terhadap hala tuju dasar dan kandungan perundangan.
Kerajaan, katanya, turut mengalu-alukan sebarang pertanyaan lanjut daripada Ahli Parlimen berhubung mana-mana RUU untuk diperjelaskan oleh menteri yang bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
















