CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melangkah setapak lagi dalam memperkasakan ekosistem kerja yang mampan menerusi perasmian KinderHub@MCMC, sebuah pusat asuhan dan didikan kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, KinderHub@MCMC turut disifatkan sebagai penanda aras baharu bagi badan berkanun di negara ini.
Menurutnya, penyediaan kemudahan asuhan di tempat kerja bukan sahaja meringankan beban logistik kakitangan, malah menjadi faktor kritikal dalam meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan emosi pekerja yang bergelar ibu bapa.
“Saya tahu, sejak menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Komunikasi, ramai yang bekerja lebih masa.
“Apabila ada tadika di sini, saya harap semua kakitangan dapat bekerja dengan lebih tekun selepas ini,” katanya ketika berucap merasmikan KinderHub@MCMC di sini hari ini.

Beliau berkata, KinderHub@MCMC akan mampu melahirkan generasi yang lebih berketerampilan dari sudut pembelajaran yang disediakan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, usaha yang ditunjukkan MCMC itu akan dapat dijadikan sebagai contoh terbaik buat badan berkanun yang lain.
“Saya percaya ini adalah ruang terbaik untuk anak-anak ini.
“Badan berkanun lain boleh jadikan ini sebagai contoh terbaik untuk pendidikan awal anak-anak kakitangan.
“Walaupun bukan semua badan berkanun itu mampu tetapi jadikan usaha ini sebagai langkah mula,” katanya.
Sementara itu, warga MCMC yang menghantar anak-anak di situ melahirkan rasa gembira kerana tadika tersebut menawarkan pembelajaran terbaik buat anak-anak mereka.
Timbalan Pengarah Jabatan Fraud Telekomunikasi MCMC, Mohd Amirul Hakim yang menghantar dua anaknya ke KinderHub@MCMC turut berkongsi rasa sangat teruja dan bersyukur dengan perkhidmatan itu.

“Saya hantar dua anak saya yang berusia lima tahun dan enam tahun.
“KinderHub@MCMC ini sangat memudahkan saya dalam urusan persekolahan anak-anak.
“Saya tidak lagi perlu risau dan menjadikan pekerjaan saya lebih efisien, paling penting anak-anak suka ke sekolah” katanya.
Pendapat yang sama turut dilahirkan Timbalan Pengarah Jabatan Hubungan Pekerja MCMC, Nur Syahirah Ramli yang berkata, anaknya yang berusia lima tahun semakin seronok belajar di KinderHub@MCMC.

“Alhamdulillah, sebagai warga kerja MCMC, ia banyak membantu meringankan tugasan kami.
“Adakalanya kami kena pulang lewat, dengan adanya KinderHub@MCMC, anak di depan mata, jadi tak adalah rasa terkejar-terkejar untuk ambil anak pulang ke rumah,” katanya.
Pendekatan holistik yang diambil MCMC itu membuktikan bahawa tenaga kerja yang produktif lahir daripada persekitaran yang memberikan ketenangan fikiran.
Dengan adanya pusat jagaan di dalam premis sendiri, keresahan ibu bapa terhadap keselamatan dan kualiti pendidikan awal anak-anak dapat diredakan.
Beroperasi seawal pukul 7 hingga 7 petang, KinderHub@MCMC direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden warga kerja yang dinamik.
Kemampuannya menempatkan sehingga 153 kanak-kanak pada satu-satu masa menjadikannya antara kemudahan asuhan paling komprehensif bagi sebuah badan berkanun. – MalaysiaGazette
















