PUTRAJAYA – Penstriman langsung kes-kes rasuah di Mahkamah Rayuan bukan sahaja menunjukkan keterbukaan kerajaan, bahkan untuk mengelakkan berlakunya insiden salah lapor.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ini kerana terdapat banyak tindakan salah lapor oleh pihak tertentu.
“Saya secara peribadi dan juga SPRM, kami memang mengalu-alukan penstriman kes-kes di Mahkamah Rayuan elok diadakan untuk menunjukkan keterbukaan dan juga dia juga untuk mengelakkan sebarang salah lapor oleh pihak.
“Ini kerana kes-kes rasuah terutama sekali pihak-pihak yang nak melaporkan kepada orang ramai, baik media arus perdana ataupun sosial media, banyak berlaku sebelum ini salah lapor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, Dewan Rakyat bersetuju untuk penstriman langsung perbicaraan rasuah pada peringkat Mahkamah Rayuan bagi tontonan umum.
Azalina berkata, penstriman langsung ini bukan saja mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membanteras rasuah, bahkan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara.
Azam juga berkata, dengan penstriman secara langsung, orang ramai boleh mengikuti prosiding kes rasuah dan meneliti bukti penghujahan di Mahkamah Rayuan dengan lebih telus dan terbuka.
“Kena ingat Mahkamah Rayuan bukannya satu perbicaraan tentang pertanyaan soalan. Ia melibatkan tentang hujah antara kedua-dua pihak, antara pihak pendakwa raya dan juga pihak peguam.
“Jadi kita semua boleh mendengar apa asas hujah berkenaan. Jadi melihat kepada isu penstriman ini sebenarnya adalah keterbukaan kerajaan kepada orang ramai.
“Orang ramai dapat menilai sendiri tentang sesuatu kes itu dan kita juga nakkan rakyat melihat tentang isu rasuah itu sesuatu yang serius dalam negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















