Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang individu telah dirakam keterangan berhubung siasatan dakwaan wujud konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan itu diambil sejurus selepas laporan polis diterima, sekali gus menandakan siasatan sudah bermula dan sedang dijalankan secara profesional serta menyeluruh.

“Setakat ini kita sudah ambil satu kenyataan daripada mereka yang terlibat dan lepas ini ada lagi beberapa individu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut dihadiri menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Mohd Khalid bagaimanapun tidak menamakan individu yang telah dirakamkan keterangan beliau.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, polis turut mengenal pasti tiga hingga empat individu lain yang akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Setakat ini kita baru ambil seorang tapi kita ada lagi dalam tiga hingga empat orang lagi yang perlu kita panggil untuk beri keterangan,” jelasnya.

Menurut beliau, individu pertama yang dirakam keterangan hadir secara sukarela tidak lama selepas laporan dibuat.

“Individu itu datang secara sukarela lebih kurang selepas laporan dibuat pada hari itu. Kita berjaya mengadakan pertemuan dan kita telah ambil kenyataan,” katanya.

Ditanya sama ada individu yang akan dipanggil termasuk isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, yang didakwa sebagai dalang kepada usaha menjatuhkan kerajaan, Mohd Khalid berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Kita belum pastikan lagi mengenai itu. Ia akan dibuat secara berperingkat-peringkat. Nanti saya akan umumkan,” katanya.

Sebelum ini, Na’imah dilaporkan menolak dakwaan bahawa beliau adalah dalang di sebalik laporan penyiasatan Bloomberg berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Media sebelum ini turut melaporkan bahawa lima individu termasuk empat anak Allahyarham Daim serta seorang tokoh yang digelar “individu berpengaruh” didakwa terlibat dalam satu plot untuk menjatuhkan kerajaan.

Dalam pada itu, Mohd Khalid menegaskan siasatan yang dijalankan melibatkan skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada dalam negara sahaja.

“Kita perlu kenal pasti isu-isu yang berkaitan dan ia bukan sahaja terlibat dalam negara tetapi juga di luar negara. Jadi, ini memerlukan penelitian yang menyeluruh dan berhati-hati,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan yang dirakam daripada individu berkenaan juga agak panjang dan memerlukan penelitian terperinci sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diputuskan.

Sebelum ini, Bukit Aman memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan cubaan oleh individu tidak dinamakan untuk menggulingkan kerajaan dan mengancam kestabilan negara berdasarkan satu laporan polis yang diterima.

Laporan tersebut mendakwa ahli sebuah keluarga berpengaruh telah melantik sebuah firma dari United Kingdom (UK) bagi memberi tekanan kepada SPRM dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan bantuan media antarabangsa.

Dakwaan itu timbul susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dan tidak mengisytiharkan aset berkenaan secara terbuka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast