KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi kebimbangan bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berhubung situasi yang semakin meruncing di Asia Barat susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS)
Ketika menerima panggilan telefon daripada Shehbaz petang tadi, Perdana Menteri berkata, beliau menegaskan bahawa tindakan AS dan Israel itu merupakan pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami turut senada bahawa semua pihak yang terlibat perlu segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.
Menurut Anwar, dalam masa sama, Shehbaz memaklumkan perkembangan mengenai ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan, serta berkongsi pandangan tentang inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi merintis jalan damai antara kedua-dua negara.
“Saya menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik,” katanya. – MalaysiaGazette
















