KUALA LUMPUR – Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kauran di Keningau, Sabah, petang semalam.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dalam kenyataan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.38 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Norhasrita Abd. Manan bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), Water Tanker dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan air, dengan sumber air diperoleh daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.
“Bagaimanapun, operasi berdepan beberapa cabaran termasuk kesesakan lalu lintas kerana kejadian berlaku ketika waktu berbuka puasa selain laluan masuk yang sempit serta jambatan kecil yang menyukarkan pergerakan jentera berat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, walaupun berdepan kekangan, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.30 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 8.10 malam.
Operasi turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia dengan enam anggota serta Sabah Electricity yang menghantar empat anggota ke lokasi. – MalaysiaGazette
















