Pengerusi Eksekutif, SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) hari ini mengumumkan barisan kepimpinan pertamanya yang dibuat oleh Menteri Kewangan, berikutan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 pada 1 Mac lalu.

Pelantikan itu menyaksikan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya sebagai Pengerusi Eksekutif bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah yang akan menerajui badan pengawal selia baharu itu bagi tempoh tiga tahun.

Pelantikan tersebut sekali gus menandakan permulaan rasmi operasi suruhanjaya itu sebagai badan pengawal selia yang bertanggungjawab menyelia penyedia kredit pengguna di negara ini, bagi memastikan amalan pemberian kredit dilaksanakan secara telus, adil dan bertanggungjawab.

Abu Hassan berkata, penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 merupakan langkah penting dalam agenda reformasi kerajaan bagi memperkukuh perlindungan pengguna dalam sektor kewangan negara.

“Buat pertama kalinya, Malaysia memiliki undang-undang komprehensif yang memberi fokus khusus kepada pengawalseliaan kredit pengguna di luar sektor perbankan, sekali gus memperkukuh dan memperbaiki landskap industri kredit pengguna negara.

“Dengan pelantikan barisan kepimpinan pertama yang menggabungkan kepakaran, pengalaman dan profesionalisme pelbagai pihak, SKP kini bersedia melaksanakan mandat di bawah Akta Kredit Pengguna 2025.

“Kepelbagaian ini mencipta sinergi yang membolehkan SKP bertindak secara bersepadu, memastikan amalan pemberian kredit dijalankan dengan telus, adil dan bertanggungjawab, seterusnya melindungi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Hassan sebelum ini pernah mengetuai Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna yang ditubuhkan pada Julai 2021 bagi merangka Rang Undang-Undang Kredit Pengguna secara kolaboratif bersama kementerian dan agensi berkaitan.

Dalam pada itu, turut dilantik sebagai Lembaga Pengarah SKP ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif, Salmah Bee Mohd Mydin, selain wakil daripada Kementerian Kewangan (MoF), BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta beberapa individu profesional berpengalaman daripada industri.

Antara ahli lembaga pengarah ialah Nahidah Usman (wakil MoF), Dr Norhana Endut (wakil BNM), Yew Yee Tee (wakil SC), dan ahli luar Datuk Mohd Muazzam Mohamed, Datuk Mohamed Ridza Mohamed Abdulla, Leong Kah Chern, dan Murali Desan SP Krishnamurthy. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast