KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan sebarang bentuk keganasan, ancaman atau intimidasi sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang, walau apa jua latar belakang atau motif di sebalik kejadian tersebut.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan yang menyeluruh serta telus bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Menurutnya, tindakan melanggar undang-undang serta mengambil tindakan sendiri bukan sahaja menjejaskan keselamatan awam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan yang lebih luas dalam masyarakat.
“Dalam masa yang sama, ABIM menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan sensitiviti agama atau pembinaan rumah ibadat perlu ditangani secara tertib melalui saluran undang-undang serta mekanisme pentadbiran yang sah.
“Pemeliharaan keharmonian masyarakat majmuk menuntut agar setiap pihak menghormati peraturan yang ditetapkan serta mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fahmi menegaskan isu melibatkan agama dan kaum tidak seharusnya dipolitikkan sebagai pertembungan antara menyokong atau menentang kerajaan.
Hakikatnya, tambah beliau, persoalan yang sedang dihadapi ialah bagaimana masyarakat mengurus sensitiviti agama serta mematuhi undang-undang secara bertanggungjawab.
“Mengheret isu ini ke dalam polemik politik hanya akan mengaburkan permasalahan sebenar dan berisiko memperbesarkan ketegangan dalam masyarakat,” katanya.
Tambahnya, ABIM juga berpandangan dalam situasi yang melibatkan ketegangan awam atau potensi ancaman keselamatan, langkah pencegahan yang lebih proaktif amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sehubungan itu, jelas beliau, ABIM mengharapkan agar pihak berkuasa terus memperkukuh usaha pemantauan serta langkah pencegahan dalam menangani isu sensitif yang berpotensi mencetuskan ketegangan masyarakat.
“Pendekatan yang bersifat ‘preventif’ amat penting bagi memastikan keamanan awam dapat dipelihara serta sebarang insiden keganasan dapat dielakkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















