PUTRAJAYA – Nga Kor Ming menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan sentimen antara kaum melampau sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi bagi memastikan keamanan serta perpaduan rakyat Malaysia terus terpelihara.
Menurut beliau, perkara itu juga akan dibangkitkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri bagi memastikan isu berkenaan diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.
“Esok semasa Jemaah Menteri saya akan turut bangkitkan perkara yang sama supaya Jabatan Peguam Negara wajib mengambil tindakan tegas terhadap semua puak pelampau.
“Tak kira kamu siapa, tiada kompromi dan tiada maaf untukmu kerana kita rakyat Malaysia cintakan keharmonian,” katanya.
Kor Ming berkata demikian dalam sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Ramadan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2026 hari ini.
Beliau menegaskan, rakyat Malaysia perlu terus memperkukuh perpaduan dan menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menggugat keamanan negara.
“Eratkan perpaduan, pastikan kita terus menjalin silaturahim sebagai sebuah negara bangsa yang hebat yang cintakan keamanan,” katanya lagi.
Menurutnya, keharmonian antara kaum yang sekian lama terjalin di negara ini perlu terus dipelihara demi memastikan Malaysia kekal stabil dan makmur.
Tambah beliau, semua pihak perlu memainkan peranan untuk menolak sebarang unsur kebencian serta provokasi yang boleh merosakkan hubungan antara masyarakat. – MalaysiaGazette
















