KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang terlibat dalam jenayah samun kedai serbaneka di Taman Mutiara, Cheras akhirnya diberkas polis menerusi operasi berasingan di sekitar Kajang dan Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar 4 pagi pada 22 Februari lalu.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah melancarkan operasi bagi mengesan suspek.
“Operasi itu membawa kepada penahanan kedua-dua suspek tempatan berusia 26 tahun di dua lokasi berasingan sekitar Kajang dan Cheras.
“Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika melakukan jenayah samun tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata, hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian samun kedai serbaneka serta kes melarikan kenderaan.
“Mereka dikesan melakukan kegiatan itu di beberapa lokasi sekitar iaitu di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, polis telah berjaya menyelesaikan beberapa kes samun kedai serbaneka serta kes melarikan kenderaan yang dilaporkan sebelum ini,” jelasnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan pertuduhan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















