Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

KUALA LUMPUR — Tindakan memaparkan sepanduk mengandungi ayat suci al-Quran yang didakwa diterjemah secara salah untuk mempromosikan budaya songsang mengundang reaksi tegas kerajaan apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan menjalankan siasatan segera.

Arahan itu dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan susulan video tular memaparkan sepanduk berkenaan dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berikutan video tular yang memaparkan sepanduk dengan ayat suci al-Quran yang digunakan secara salah untuk mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Insiden itu dipercayai berlaku pada 8 Mac lalu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, yang dikatakan melibatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak wanita serta sebuah parti politik.

Perarakan tersebut didakwa mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), sekali gus mencetuskan kemarahan umat Islam apabila ayat suci al-Quran dikaitkan dengan agenda berkenaan.

Zulkifli menegaskan, perbuatan tersebut bukan sahaja menimbulkan keresahan awam, malah mencemar kemuliaan kitab suci, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah Ramadan.

“Saya menegaskan sekeras-kerasnya bahawa perbuatan ini bukan sahaja mengguris maruah umat Islam apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini, malah mencemar kemuliaan al-Quran kerana ditafsir jauh dari konteks serta makna sebenar ayat tersebut,” tegasnya.

Beliau mengingatkan bahawa al-Quran tidak boleh ditafsir mengikut selera atau kepentingan tertentu tanpa merujuk disiplin ilmu yang muktabar dan tradisi keilmuan Islam yang sahih.

“Saya menyeru semua pihak agar menghayati al-Quran dengan tradisi keilmuan yang panjang dan tidak sewenang-wenangnya menterjemah mengikut nafsu sehingga menyesatkan dari maksud sebenar apatah lagi untuk menjadikan dalil budaya yang bertentangan dengan nilai Islam,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya bertenang dan memberi ruang kepada JAWI serta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan adil mengikut undang-undang.

Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempermainkan kesucian agama atau memanipulasi teks suci sehingga boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast