KUALA LUMPUR – Seramai 2,257 pengarah syarikat dihalang daripada meninggalkan Malaysia kerana gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja mereka sepanjang tahun 2025.
Ini menjadikan keseluruhan senarai nama pengarah syarikat yang dihantar ke Jabatan Imigresen Malaysia di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991 adalah 14,332 orang, setakat Disember tahun lalu.
Pada tahun 2025, KWSP turut memfailkan 3,530 saman sivil dan mengambil 6,011 tindakan jenayah terhadap pengarah syarikat dan majikan yang gagal menunaikan caruman KWSP pekerja.
“Semua majikan wajib menunaikan caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP. Majikan yang gagal memenuhi kewajipan yang ditetapkan untuk membayar caruman KWSP boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah dan sekatan perjalanan ke luar negara.
“Pasukan penguatkuasaan kami sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar dengan tepat dan pada masanya.
“Pembayaran caruman yang teratur pada masanya adalah penting bukan sahaja dalam melindungi hak pekerja, malah bagi memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang dan menyediakan asas yang kukuh untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin.
Tambah beliau, rangka kerja KWSP juga memastikan majikan memenuhi tanggungjawab mereka untuk mencarum bagi simpanan persaraan pekerja.
Tanpa mekanisme yang ditetapkan secara berkanun ini, pekerja mempunyai cara yang terhad untuk memastikan majikan mereka mencarum secara konsisten bagi simpanan persaraan mereka.
Dalam tempoh yang sama, KWSP telah menyelesaikan 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan pekerja yang diterima, manakala 12,161 kes masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang.
Setiap aduan yang diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan hak ahli sebagai pekerja sentiasa dilindungi.
Katanya, KWSP akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi memastikan majikan memenuhi kewajipan yang ditetapkan terhadap mereka.
Ahli juga digesa untuk sentiasa menyemak akaun KWSP melalui aplikasi KWSP i-Akaun bagi memastikan caruman majikan mereka dikreditkan tepat pada masanya dan dalam jumlah yang betul.
Sekiranya terdapat sebarang percanggahan, ahli hendaklah segera menghubungi majikan bagi mendapatkan pengesahan.
Jika majikan gagal membuat caruman yang ditetapkan, ahli boleh menghubungi atau mengunjungi mana-mana pejabat KWSP untuk membuat aduan, berserta dokumen sokongan seperti surat tawaran pekerjaan, slip gaji atau rekod lain yang berkaitan.
Di samping itu, KWSP juga menggalakkan majikan untuk menggunakan platform i-Akaun (Majikan) untuk menyemak senarai pekerja, caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka.
Jika terdapat sebarang isu berkaitan tunggakan caruman, majikan boleh menghubungi atau hadir di mana-mana pejabat KWSP untuk menyelesaikannya. -MalaysiaGazette
















