Foto: Fb Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom disahkan tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2026 yang dijadual berlangsung di Tagaytay, Filipina dari 25 hingga 31 Mac ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan kedua-dua pelumba memberi tumpuan kepada aksi Siri Piala Dunia Trek UCI yang akan berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai dari 24 hingga 26 April depan.

Menurut beliau, langkah itu juga sebahagian daripada perancangan pasukan dalam memastikan kedua-dua pelumba berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan utama tahun ini.

“PKBM berpandangan lebih baik Datuk Azizulhasni menumpukan tenaganya kepada Siri Piala Dunia Trek di Nilai tambahan pula kejohanan itu kembali dianjurkan di gelanggang sendiri selepas 25 tahun. Pendekatan sama turut diambil bagi Shah Firdaus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah teknikal skuad trek negara, John Beasley memaklumkan keputusan mengenainya masih dipertimbangkan ketika itu kerana pasukan mahu memastikan Azizulhasni berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan utama seperti Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026.

Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata, ACC menjadi pentas terbaik buat pelumba muda menguji kemampuan berdepan pencabar dari seluruh Asia.

“Saya percaya pelumba seperti New Joe berpotensi mencipta kejutan. PKBM perlu berani memberi ruang kepada pelumba muda beraksi di peringkat tertinggi di pentas trek Asia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Amarjit turut melahirkan keterujaan terhadap peningkatan ranking dunia Azizulhasni selepas aksi cemerlang di Perth.

New Joe turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila naik 19 anak tangga ke kedudukan ke-17 dunia dengan 2,612 mata hasil prestasi pada kejohanan sama.

Sementara itu, PKBM menyasarkan Azizulhasni dan Shah Firdaus berada pada prestasi terbaik menjelang Sukan Komanwel 2026 di Glasgow serta Sukan Asia 2026 di Jepun sebagai sebahagian persiapan menuju pusingan kelayakan mata bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast