KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan penghantaran surat kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) dengan tujuan meminta sokongan Amerika Syarikat menjelang PRU14 ditulis oleh badan perisik Malaysia.
Naib berkata, beliau tidak mengetahui mengenai kiriman surat berkenaan.
“Saya tak tahu, apa pun surat ini dibuat oleh badan perisik kita (Malaysia) dan bukan dasar kita nak mendedahkan surat tersebut. Ini rahsia kerajaan.
“Kalau kita dedahkan, maknanya tak ada apa lah yang boleh kita anggap sebagai rahsia dalam negara,”katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi, kandungan kiriman surat kepada CIA tersebut tidak sepatutnya didedahkan.
Beliau turut memaklumkan, surat berkenaan ditulis oleh agensi bukannya melalui beliau sendiri.
“Sama ada mereka tulis atau tak surat itu kena tanya mereka bukan saya.
“Lagipun, perkara ini (surat CIA) dah lama, ini isu ketika musim kempen pilihan raya, ia tak bagi kesan pun kepada keputusan PRU14,”tambahnya.
Surat tiga halaman bertarikh 4 Mei itu, ditandatangani Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan JPM, Datuk Hasanah Ab Hamid, diutuskan kepada Gina Haspel selaku Pengarah CIA ketika itu.
Sebelum ini, Najib berkata, beliau tidak pernah mengarahkan Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menulis surat memohon sokongan CIA menjelang PRU-14 pada 9 Mei lalu.
Menerusi surat terbabit, MEIO dikatakan meminta Amerika Syarikat untuk terus menyokong pentadbiran Najib, jika BN menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU14.-MalaysiaGazette
















