KUALA LUMPUR – Pengumuman dividen Lembaga Tabung Haji (TH) yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pencapaian tersebut hadir tepat pada masanya ketika rakyat sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Alhamdulillah, pengumuman dividen Tabung Haji (TH) hari ini yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun hadir sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu mencerminkan hasil pembaharuan yang dilaksanakan dalam institusi berkenaan sejak kebelakangan ini.
“Pencapaian ini mencerminkan hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan TH,” ujarnya.
Anwar menegaskan, usaha pembaharuan tersebut bukan sekadar penambahbaikan biasa, sebaliknya satu ikhtiar menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat.
“Pembaharuan ini juga adalah ikhtiar untuk kembali mengangkat dan memartabatkan TH selaras dengan semangat asal penubuhannya yang berteraskan pengurusan amanah dan tanggungjawab terhadap kepentingan umat Islam.
“Semoga khabar baik ini menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri, serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha kita untuk terus memelihara institusi ini demi kepentingan bersama, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat berbanding 3.25 peratus yang direkodkan tahun sebelumnya, sekali gus menjadi kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Agihan itu membabitkan RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, keputusan tahun 2025 adalah prestasi kewangan terbaik dalam tempoh lapan tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin serta rangka kerja tadbir urus yang diperkukuh.
Katanya, agihan keuntungan itu ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta, bagi pihak pendeposit kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN). – MalaysiaGazette
















