Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR — Kenaikan mendadak harga diesel sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter bermula hari ini mengundang reaksi keras pembangkang yang menyifatkannya sebagai keputusan paling membebankan rakyat ketika musim perayaan semakin hampir.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu bukan sahaja mengejutkan, malah mencatatkan paras kenaikan tertinggi dalam sejarah negara ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Pembangkang memandang serius dan kesal dengan pengumuman kenaikan harga diesel setinggi 80 sen – kepada RM4.72 seliter bermula hari ini – paras tertinggi dalam sejarah Malaysia, ketika rakyat khususnya umat Islam sedang dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia meningkat 80 sen kepada RM4.72 seliter bagi tempoh 19 Mac hingga 25 Mac ini.

Bagaimanapun, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh sama.

Hamzah yang juga Ahlli Parlimen Larut mendakwa tindakan Kerajaan Madani itu memperlihatkan rasa tidak sensitif pimpinan tertinggi negara terhadap realiti dan denyut nadi rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.

Menurut beliau, kenaikan mendadak itu hampir pasti mencetuskan kesan rantaian, khususnya terhadap kos pengangkutan yang akhirnya akan memacu peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kenaikan sebanyak 80 sen ini akan memberi kesan rantaian, terutamanya kos pengangkutan, yang kemudian mendorong kenaikan harga barang – malah lebih mengecewakan ia dibuat pada waktu yang amat tidak sesuai,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat tidak menafikan harga minyak dunia ketika ini melonjak susulan konflik di Asia Barat, namun kerajaan sepatutnya lebih bijaksana dalam menentukan masa pelaksanaan.

“Rakyat boleh faham harga minyak dunia ketika ini melonjak akibat konflik di Asia Barat, tetapi kerajaan perlu berhikmah dalam membuat sesuatu keputusan.

“Tidak salah kenaikan itu ditangguhkan dulu selepas Aidilfitri, atau dibuat secara berperingkat,” katanya.

Dalam masa sama, Hamzah menyifatkan pengumuman diskaun tol raya sebagai tidak memadai untuk meredakan beban akibat kenaikan harga diesel, malah boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Impak kenaikan harga minyak terhadap kehidupan rakyat ini tidak cukup dengan pengumuman diskaun tol raya.

“Malahan ia mengundang persepsi sinikal seolah-olah kerajaan cuma beri sedikit dan ambil kembali dalam jumlah besar dari rakyat,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar segera membentangkan pelan mitigasi yang komprehensif dan telus di Parlimen bagi memastikan rakyat lebih bersedia menghadapi tekanan ekonomi semasa.

“Kerajaan harus ada pelan mitigasi yang jelas, menyeluruh dan berkesan. Bentangkan segera di Parlimen supaya rakyat dapat lebih bersedia menghadapi impak ekonomi disebabkan peperangan Teluk yang berlarutan,” katanya. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast