MELAKA – Penghantar makanan direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas tular videonya membelasah isteri sedang hamil sebelum melanggar kepala wanita itu dengan motosikal, Ahad lalu.
Perintah reman ke atas suspek berusia 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani bermula hari ini sehingga 23 Mac ini.
Permohonan reman dibuat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Sarjan Siti Norhayati Zainan.

membawa penghantar makanan yang direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas tular
videonya membelasah isteri sedang hamil sebelum melanggar kepala wanita itu dengan motosikal, Ahad lalu.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Isnin lalu, tular klip video berdurasi lebih satu minit menunjukkan perbuatan kejam suspek terhadap isterinya itu berusia 20 tahun yang sempat dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan kira-kira 4 pagi.
Video menunjukkan suspek bertindak agresif dengan memukul, melempang serta menarik rambut mangsa sebelum melanggar kepala wanita itu menggunakan motosikal di hadapan sebuah premis hiburan keluarga di Kota Shahbandar.
Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan sebelum dibawa ambulans ke Zon Merah Hospital Melaka pada jam 4.41 pagi akibat kecederaan dialami.
Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah oleh ibunya di Tanjung Minyak Perdana sebelum wanita itu membuat laporan polis untuk menyelamatkan anaknya itu.
Susulan itu, polis memburu suspek yang turut mempunyai rekod berkaitan kesalahan dadah sebelum berjaya menahannya yang bersembunyi di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin pukul 11 pagi semalam.– MalaysiaGazette
















