KUALA LUMPUR – Pemandu Myvi biru yang terlibat dalam insiden kejar-mengejar dengan kereta peronda polis pada petang Rabu lalu didapati mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Lelaki warga tempatan itu juga mempunyai satu rekod dikehendaki polis atas kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Kuala Bera.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, lelaki itu ditahan selepas dikejar peronda polis di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang kira-kira 15 kilometer kerana cuba lari daripada pemeriksaan polis.
Menurutnya, suspek telah memandu secara agresif dan melanggar beberapa kenderaan lain sebelum berjaya ditangkap.
“Semakan ke atas nombor casis kereta yang dipandu suspek mendapati ia adalah kenderaan hilang di Kuala Bera dan disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
“Dia telah direman oleh Majistret Petaling Jaya selama dua hari sehingga hari ini dan suspek akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Bera untuk siasatan di daerah berkenaan sementara kertas siasatan dilengkapkan dan taklimat kepada timbalan pendakwa raya untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette
















