GEORGE TOWN – Kemudahan beli sekarang bayar kemudian (BNPL) yang dianggap membantu pengguna mengurus perbelanjaan khususnya menjelang Aidilfitri, berpotensi mencetuskan beban hutang berpanjangan jika tidak dikawal dengan baik.
Pengarah Program MBA & DBA Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana penggunaan BNPL dilihat meningkat ketara ketika musim perayaan disebabkan kemudahan bayaran ansuran tanpa faedah serta akses pantas tanpa syarat ketat, sekali gus membantu pengguna mengurus aliran tunai ketika perbelanjaan meningkat.
Beliau berkata, faktor promosi dan diskaun turut menjadi pendorong utama kepada pembelian segera, namun situasi itu perlu ditangani dengan disiplin kewangan yang baik agar tidak membawa kepada komitmen hutang yang berlebihan.
“Penggunaan BNPL meningkat semasa Hari Raya Aidilfitri kerana ia menawarkan kemudahan bayaran ansuran tanpa faedah, akses cepat tanpa syarat ketat, serta membantu pengguna mengurus aliran tunai ketika perbelanjaan bermusim meningkat.
“Namun, trend membeli untuk bergaya semata-mata memang meningkatkan risiko hutang jangka panjang, lebih-lebih lagi dengan pengaruh pempengaruh di media sosial yang mendorong perbelanjaan berasaskan kehendak, bukan keperluan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Menurutnya, tekanan sosial untuk tampil bergaya ketika Aidilfitri juga memainkan peranan besar dalam mempengaruhi keputusan kewangan individu sehingga ada yang sanggup berbelanja melebihi kemampuan.
“Tekanan sosial datang dari pelbagai arah termasuk rakan sekerja, keluarga dan media sosial, yang akhirnya mendorong individu membuat keputusan kewangan yang tidak rasional demi menjaga imej diri.
“Dari sudut psikologi, ini berkait dengan kecenderungan ‘overspending bias’ dan keinginan mendapatkan kepuasan jangka pendek, yang boleh membawa kepada tekanan kewangan serta menjejaskan kesejahteraan mental apabila hutang semakin meningkat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun data Kementerian Kewangan menunjukkan jumlah pinjaman BNPL mencecah RM4.9 bilion dengan hanya 3.3 peratus tidak berbayar, ia tidak boleh dianggap selamat sepenuhnya.
“Data ini menunjukkan BNPL masih terkawal dari segi kadar tidak berbayar yang rendah, namun jumlah keseluruhan pinjaman yang besar menandakan potensi risiko sedang meningkat jika penggunaan tidak disertai disiplin kewangan yang baik.
“Pengguna perlu menyusun semula bajet bulanan, mengutamakan bayaran ansuran sedia ada dan mengelakkan mengambil pelan baharu sehingga komitmen semasa diselesaikan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menetapkan had perbelanjaan, mengutamakan keperluan asas serta membuat simpanan lebih awal bagi mengelakkan kebergantungan kepada BNPL ketika musim perayaan. – MalaysiaGazette
















