Sejumlah 120 hektar kawasan hutan di belakang PPR Pengerang yang terbakar sejak Sabtu lalu sudah berjaya dipadamkan

PENGERANG – Sejumlah 120 daripada keseluruhan 150 hektar kawasan hutan di belakang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang yang terbakar sejak Sabtu lalu sudah berjaya dipadamkan setakat pukul 1 petang ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Kanan II Ezam Mistorerrodin berkata, operasi pemadaman kebakaran tersebut kini tinggal 30 hektar lagi.

“Keadaan cuaca panas dan kering serta tiupan angin kuat menjadi antara faktor utama kebakaran cepat merebak ke kawasan sekitar termasuk menghampiri penempatan penduduk.

“Api masih marak membakar pokok dan belukar kering dengan asap tebal serta tinggi sehingga menjejaskan jarak penglihatan di laluan Lebuhraya Bypass Punggai menghala ke Sebana Cove,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keadaan itu turut memaksa anggota dari Balai Polis Bayu Damai menutup laluan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya daripada risiko kemalangan akibat jarak penglihatan terhad.

Katanya, operasi pemadaman melibatkan 42 anggota dari BBP Punggai, BBP Sungai Rengit, BBP Sebana Cove, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dan Unit Dron Zon 3.

Jelasnya, turut dibantu agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Perbandaran Pengerang, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara dan wakil pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pasukan bomba melaksanakan dua kaedah utama iaitu direct attack dan total flooding di lokasi berbeza selain pembinaan fire break bagi menghalang api daripada terus merebak,” katanya.

Beliau memberitahu, di lokasi tepi lebuh raya, seramai 27 anggota bertindak menggunakan aliran hos sepanjang 1,200 kaki bersama pam air berkuasa tinggi bagi mengekang api secara langsung.

Sementara itu katanya, di belakang kawasan PPR Pengerang, operasi total flooding dijalankan menggunakan dua unit fixed monitor dan beberapa pam air dengan sumber air terbuka berhampiran.

Tambahnya, bantuan Yayasan Perladangan Johor (YPJ) turut digerakkan dengan penggunaan jentera pengorek mini dan lori tangki bagi membina laluan pemisah api di sepanjang sempadan ladang.

Pihak bomba menjangkakan operasi akan berlanjutan sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya, bergantung kepada keadaan cuaca semasa dan faktor angin.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan kebakaran serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast