Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika di Perhimpunan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, Kuantan

KUANTAN – Pelaksanaan Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pahang merekodkan peningkatan sebanyak 32 kes kemalangan membabitkan pelbagai jenis kenderaan berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, jumlah kemalangan maut yang direkodkan ialah lima kes, menurun satu kes berbanding tahun lepas.

“Op Selamat yang bermula 19 Mac sehingga semalam turut merekodkan kes membabitkan kematian menurun satu kes iaitu tujuh kes tahun ini berbanding lapan pada tahun lepas.

“Kemalangan melibatkan jalan persekutuan dan lain-lain seperti di taman-taman perumahan, catat jumlah tertinggi iaitu 318 kes dan 118 kes tahun ini,” katanya.

Datuk Seri Yahaya Othman

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, di sini hari ini yang dihadiri lebih 1,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam.

Dalam majlis yang disambut meriah itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, Asisten Komisioneer Mohamad Noor Yusof Ali mendahului senarai 22 anggota, pegawai polis dan orang awam yang dianugerahkan Surat Penghargaan sebagai mengenang bakti dan sumbangan kepada PDRM.

Salah seorang penerima Surat Penghargaan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, Kuantan

Sementara itu, Yahaya memaklumkan, penyumbang terbesar angka kemalangan ketika Op Selamat 26 masih membabitkan kenderaan motosikal di lima daerah iaitu Kuantan, Pekan, Lipis, Temerloh dan Rompin.

“Kebanyakan kita lihat punca kemalangan membabitkan pertembungan antara dua atau lebih kenderaan. Selain itu, banyak juga kes akibat terbabas atau boleh dikatakan kecuaian sendiri,” tambahnya.

Beliau berkata, keseluruhan 6,382 notis saman juga telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan ketika Op Selamat 26 dengan angka tertinggi membabitkan kereta iaitu sebanyak 4,032, diikuti motosikal sebanyak 804 saman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast