Kuala Lumpur – Seorang penghantar p-hailing maut selepas motosikal yang ditunggangi merempuh belakang sebuah kereta rosak ditepi Lebuhraya Pantai Baru KM 3, Petaling Jaya, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 petang ketika lelaki berusia 38 tahun itu sedang dalam perjalanan hendak menghantar makanan.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah motokar yang berhenti di lorong kiri jalan akibat mengalami kerosakan.
“Kita menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.50 petang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, M. Hussin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Tegasnya, tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan jalan raya.
Orang ramai yang menyaksikan atau berada di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor S. Jayseelan di talian 011-10252531 atau IPD Petaling Jaya di 03-79662222. – MalaysiaGazette
















