KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding dengan syarat perang ditamatkan secara muktamad.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman lalu membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan, sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lebanon.
Justeru katanya, usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan.
“Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas demi menjami keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, beliau berhubung dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung konflik Asia Barat yang kian meruncing.
Katanya, Malaysia turut merakamkan takziah yang mendalam kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, di samping nyawa tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan orang awam.
Tegas Anwar, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran serta tindakan yang menyasarkan orang awam, kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan.
Dalam masa yang sama, Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini.
Dalam hantaran yang sama Anwar berkata, Presiden Iran turut menyatakan penghargaan mereka terhadap sokongan Malaysia.
“Saya turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia, dan komited untuk terus memperkukuh solidariti ini.
“Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















