KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejak seorang lelaki warga tempatan yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan Rimba, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 15 Mac lepas.
Individu berbangsa Cina itu dikatakan berada di kawasan tersebut pada pukul 8 malam dan sehingga kini belum dapat dikesan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt. M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Cheah Yew Wei, 33, pada Rabu lalu pukul 9.52 pagi.
“Lelaki itu mempunyai ketinggian 178 sentimeter dan berat sekitar 100 kilogram. Beliau berkulit cerah, bermata hitam serta memakai cermin mata dengan bentuk badan sederhana.
“Dia dilaporkan memakai seluar panjang dan singlet berwarna hitam ketika kali terakhir dilihat di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, M. Hussin Sollehuddin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan mangsa supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Roszaidi Abdul Talib di talian 019-3778383 atau 03-61421222.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi mengesan mangsa dengan segera,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















