KUALA LUMPUR – Insiden dua ahli Majlis Pewakilan Penduduk yang tular baru-baru ini kerana didakwa meminta ‘wang perlindungan’ perlu dilakukan siasatan menyeluruh bukan sahaja di Wilayah Persekutuan tetapi di semua kawasan yang mempunyai struktur serupa.
Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, beliau juga mendengar khabar angin yang mengatakan kejadian sebegitu turut berlaku di beberapa kawasan lain.
“Saya juga dengar ia berlaku di beberapa kawasan lain yang mempunyai struktur lebih kurang serupa tapi tiada bukti ditunjukkan.
“Pihak berkuasa mesti menyiasat perkara ini. Inilah padah apabila dunia diletakkan di ‘hati’ bukan di ‘tangan’,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tegas peguam terkemuka itu, tindakan ahli MPP terbabit merupakan khianat terhadap jawatan yang telah diamanahkan kepada mereka.
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan agar pemilihan ahli MPP dibuat mengikut kelayakan sebenar dan bukannya parti politik.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengesahkan menerima tiga laporan berhubung video tular yang memaparkan dakwaan dua individu dipercayai ahli MPP Wilayah Persekutuan meminta wang perlindungan daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan. -MalaysiaGazette
















