Seorang lelaki maut selepas dirempuh pemandu kereta yang dipercayai di bawah pengaruh alcohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan merempuh penunggang motosikal sehingga maut di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor semalam, direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, perintah reman ke atas suspek dibuat bermula hari ini hingga Khamis ini oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat.

“Suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh seorang lelaki yang memandu dibawha pengaruh alkohol dan positif dadah di Jalan Raya Barat, Klang.

Jit Huey melaporkan, siasatan awal mendapati, sebuah Honda City dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an bergerak dari Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang secara melulu dan pada kelajuan tinggi.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal dari arah hadapan,” katanya.

Tambah beliau, akibat pelanggaran itu menyebabkan mangsa berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan ujian saringan ke atas suspek mendapati lelaki itu positif alkohol dan dadah.

“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast