KUALA LUMPUR – Pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah yang mengakibatkan kematian tidak boleh lagi dilihat sebagai kesalahan biasa.
Ia sebaliknya ia adalah jenayah berat terhadap nyawa manusia yang menuntut hukuman setimpal serta pencegahan tegas dan menyeluruh, menurut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, tragedi menyayat hati yang meragut nyawa di Klang semalam bukan sekadar statistik kemalangan sebaliknya satu kegagalan sistem yang perlu dirombak segera.
“Meskipun Malaysia tidak kekurangan undang-undang yang keras namun persoalan besar ialah sejauh mana penguatkuasaan itu benar-benar dirasai secara konsisten sehingga mampu membentuk rasa gerun di jalan raya.
“Jika penguatkuasaan hanya dirasai selepas tragedi berlaku maka kita sebenarnya sedang mengurus akibat, bukannya mencegah bencana.
“Kehadiran penguatkuasaan perlu menjadi satu norma yang dijangka, bukannya kebetulan,” katanya dalam satu kenyataan.
ABIM turut mendesak agar pendekatan sifar toleransi dilaksanakan terhadap pesalah berulang, termasuk mengenakan sekatan lesen jangka panjang atau larangan memandu seumur hidup berdasarkan tahap risiko individu terbabit.
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata, ABIM turut mengemukakan empat cadangan drastik kepada kerajaan bagi memastikan ekosistem keselamatan jalan raya benar-benar dihormati.
“Pertama, penguatkuasaan mesti bersifat konsisten dan berimpak tinggi. Operasi sekatan jalan raya serta ujian alkohol dan dadah perlu dilaksanakan secara berkala dan tidak bermusim, khususnya pada waktu berisiko tinggi. Kehadiran penguatkuasaan perlu menjadi norma yang dijangka, bukan kebetulan.
“Kedua, pendekatan sifar toleransi terhadap pesalah berulang perlu dilaksanakan. Individu yang pernah disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah wajar dikenakan sekatan lesen jangka panjang termasuk pertimbangan larangan seumur hidup berdasarkan tahap Risiko,” katanya.
Selain itu, dua lagi cadangan merangkumi pengukuhan perundangan yang perlu dipertimbangkan dengan memperkenalkan kategori kesalahan yang mencerminkan kecuaian melampau sehingga mengakibatkan kematian agar ia ditangani setara dengan jenayah berat terhadap nyawa.
“Terakhir sekali adalah integrasi teknologi dan pemantauan antara agensi perlu diperkukuh bagi mengesan dan mencegah pemandu berisiko tinggi sebelum tragedi berlaku.
“Setiap nyawa yang hilang adalah amanah yang gagal kita pelihara bersama. Kita tidak boleh membiarkan tragedi seperti ini menjadi satu kebiasaan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















