Albert Tei Jiann Cheing.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri digesa segera mendedahkan hasil siasatan berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan Bloomberg yang mendakwa beliau menghalang pendedahan siasatan itu di tengah spekulasi jawatankuasa khas siasatan yang menemui sekurang-kurangnya RM14 juta saham terkait dengannya.

Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei Jiann Cheing berkata, menurut laporan sama, Azam yang kini berkhidmat secara kontrak di SPRM  berkemungkinan tidak disambung perkhidmatan di sebalik desakan agar beliau dipecat.

“Pada masa sama, beliau (Azam) didakwa sedang berusaha untuk dilantik sebagai senator yang memerlukan perakuan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 11 Mac memaklumkan, Jemaah Menteri telah menerima dan membincangkan laporan siasatan oleh Peguam Negara berkaitan isu pemilikan saham tersebut.

“Sehubungan itu, pendedahan segera hasil siasatan dilihat penting bagi menjawab dakwaan serta mengelakkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Madani,” kata Albert.

Tambahnya, perkembangan lanjut berhubung perkara itu dijangka terus menjadi perhatian umum.

Sebelum ini, Bloomberg menerbitkan dua laporan mengenai Azam di samping pendedahan mendakwa kaitannya dengan sekumpulan individu penyangak.

Bloomberg melaporkan, Azam memiliki berjuta-juta saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat tersenarai yang melanggar pekeliling kerajaan melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.

Pada 12 Februari, satu lagi laporan Bloomberg mengaitkan Azam dengan kumpulan dikenali sebagai ‘mafia korporat’ yang dikatakan berpakat dengan SPRM untuk memaksa ahli perniagaan melepaskan pegangan mereka dalam syarikat awam tersenarai secara paksa.

Pendedahan itu mencetuskan gesaan agar Azam disingkirkan daripada SPRM dan supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasatnya.

Anwar, yang sebelum ini melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sebanyak tiga kali, setakat ini enggan menggantikan Azam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast