Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan Bloomberg semalam yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap Bloomberg terkait dengan dakwaan berkenaan.

”Selaras dengan pembentangan Jawatan Kuasa Siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, prosiding telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

”Prosiding ini mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas beliau dalam kenyataan, malam ini.

Semalam, Bloomberg dalam laporannya mendakwa Anwar menggesa ahli Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menangguhkan pendedahan dapatan siasatan kes tersebut kepada umum.

Menurut laporan tersebut, penangguhan tersebut adaah sehingga selesainya satu siasatan berasingan mengenai dakwaan pakatan sulit yang melibatkan beberapa ahli perniagaan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azam dan SPRM sebelum ini telah menafikan sebarang salah laku berkaitan dakwaan tersebut.

Bloomberg melaporkan bahawa Azam memiliki 17.7 juta saham (1.7%) dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Katanya, Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan penjawat awam daripada memegang lebih daripada 5% modal berbayar atau bernilai RM100,000, mana yang lebih rendah, dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia.

Bagaimanapun, Azam berkata urus niaga tersebut telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan tahun lalu.

Peguamnya telah memfailkan saman terhadap Bloomberg berhubung laporan itu, menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta.

Namun Bloomberg mempertahankan laporannya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast