JOHOR BAHRU – Polis menahan dua wanita dan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam hantaran akaun milik wanita mendakwa Ratu Nur Puteri Ratu Balqis yang mendakwa ‘dipinjamkan badan oleh malaikat’ dan turut mengakui dirinya dahulu Nabi Muhammad SAW.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ketiga-tiga warga tempatan tersebut ditahan anggota Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di Taman Saujana di sini pukul 5 petang tadi.
Jelasnya, mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kandungan video dalam aplikasi TikTok yang didakwa mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, kepimpinan negara dan institusi diraja.
“Kita menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan kira-kira pukul 5 petang, Ahad lalu yang mengesan video berkenaan dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok ratunurputribalqis.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan berjaya menahan ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 17 hingga 49 tahun,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mereka mendapati negatif.
Ab Rahaman berkata, susulan penahanan tiga individu tersebut, polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini dalam tahanan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan dijalankan.
“Menerusi hantaran video berkenaan mengandungi unsur hasutan, fitnah dan menghina agama Islam, Perdana Menteri, institusi diraja Johor, institusi agama dan Ketua Polis Johor.
“Di antara kandungan hantaran tersebut adalah mendakwa bahawa Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor dan Perdana Menteri mendapatkan nasihat daripadanya dalam penyediaan teks ucapan,” katanya.
Hantaran itu katanya, turut memfitnah Sultan Johor menyimpan dokumen pengenalan dirinya bagi tujuan tertentu berkaitan ajaran yang dibawanya.
Tambahnya, hantaran itu turut membuat tuduhan ke atas Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) terlibat dalam salah laku dan rasuah.
Tambah beliau, kandungan tersebut juga menyentuh sensitiviti agama apabila menyatakan bahawa solat fardhu akan kembali kepada dua rakaat manakala solat sunat hanya satu rakaat.
“Polis memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya tidak menyentuh atau membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di 07-2212999,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid hari ini berkata, pengakuan wanita tersebut tersebut dan beberapa dakwaan lain dibuat menerusi beberapa klip video yang tular sejak Jumaat lalu.
Beliau menberitahu, video-video klip yang tersebar itu didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan.
“Individu yang menggelarkan dirinya sebagai Ratu Nur Putri Ratu Balqis turut mendakwa dirinya sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’,” ujar Mohd Fared.
Sebelum itu, seorang wanita mendakwa dirinya dipinjamkan badan oleh malaikat dan mempunyai pertalian dengan Nabi Muhammad SAW.
Akaun TikTok bernama @ratunurputriratubalqis memaparkan beberapa video menunjukkan wanita tersebut membuat beberapa kenyataan yang mengandungi unsur bertentangan dengan ajaran Islam.
Salah satu video berkenaan memaparkan wanita tersebut didakwa menjunjung al-Quran sambil mendakwa dirinya merupakan anak kepada Adam dan Hawa, yang kononnya telah dihidupkan kembali.
Terdapat video dalam akaun tersebut turut menunjukkan wanita berkenaan didakwa mengakui kononnya merupakan guru kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.- MalaysiaGazette
















