Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 APRIL 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR — Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan sebuah ‘war room’ komunikasi ekonomi apabila Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan Pusat Arahan Komunikasi berkaitan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi berdepan ketidaktentuan global, khususnya krisis tenaga dan konflik di Asia Barat.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pusat berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan sidang media khas dijadualkan berlangsung setiap hari sekitar pukul 4 petang.

“Kemungkinan pada mulanya hampir setiap hari untuk menyelaras aspek-aspek komunikasi bagi pihak kerajaan berkait respon dan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan dan juga badan-badan yang berkaitan khusus mengenai krisis tenaga global dan situasi perang di Asia Barat,” katanya dalam sidang media di Angkasapuri di sini, hari ini.

Menurut beliau, sidang media itu bakal memberi tumpuan kepada perkembangan konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran serta kesan langsung terhadap ekonomi Malaysia.

Langkah itu dilihat sebagai pendekatan lebih agresif kerajaan dalam memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat tepat, tersusun dan tidak bercelaru ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.

Fahmi menjelaskan, pusat berkenaan akan mengadakan sesi penerangan secara berkala bagi menyelaras naratif dan tindakan kerajaan, terutama dalam menangani impak kenaikan harga tenaga global serta ketidaktentuan pasaran akibat peperangan di Asia Barat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kabinet turut memutuskan supaya Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bertemu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan kewangan dan ekonomi dalam masa terdekat.

“Langkah ini untuk menyampaikan pandangan dan ikhtiar kerajaan yang telah dirangka setakat ini khusus berkait isu-isu ekonomi dan kewangan akibat daripada apa yang sedang berlaku di Asia Barat dan kesan kepada ekonomi negara akibat daripada krisis tenaga global,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, Jemaah Menteri turut dimaklumkan bahawa beberapa mesyuarat ASEAN tahun ini akan dilaksanakan secara dalam talian, kecuali pertemuan melibatkan ketua-ketua kerajaan.

Antara yang terdekat ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN yang akan diadakan secara dalam talian, selari dengan langkah berjaga-jaga susulan situasi geopolitik semasa. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast