KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan supaya tampil memperjelaskan kaedah penentuan harga diesel susulan kenaikan berterusan bahan api yang didakwa semakin membebankan rakyat serta sektor perniagaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, PN memaklumkan harga diesel di Semenanjung Malaysia yang sebelum ini meningkat kepada RM5.52 seliter dijangka terus naik sehingga mencecah RM6.02 seliter.
Menurut gabungan itu, kenaikan mendadak dalam tempoh singkat berpotensi memberi tekanan besar kepada perniagaan, rantaian bekalan dan kos sara hidup rakyat kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurutnya, situasi itu turut diburukkan dengan kemungkinan kenaikan tarif elektrik yang tertakluk kepada mekanisme pelarasan harga bahan api sekali gus meningkatkan kos operasi pelbagai sektor secara menyeluruh.
Antara sektor yang dijangka paling terkesan ialah logistik, pengangkutan, pertanian, pembuatan, peruncitan dan pengedaran makanan.
Menurut beliau, banyak syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dengan margin keuntungan tipis dijangka berdepan kesukaran untuk menyerap kos tambahan tersebut.
“Sehubungan itu, PN menuntut kerajaan menjelaskan unjuran harga diesel bagi beberapa bulan akan datang, sama ada harga RM6.02 seliter merupakan paras maksimum atau masih tertakluk kepada pelarasan lanjut selain memperincikan impak kenaikan tarif elektrik terhadap perniagaan dan inflasi.
“PN menggesa kerajaan mengumumkan langkah segera dan konkrit bagi melindungi isi rumah serta sektor perniagaan daripada tekanan kos yang semakin meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, PN turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan cukai durian runtuh atau cukai tenaga sementara ke atas industri minyak dan gas berikutan keuntungan tinggi yang dinikmati susulan harga tenaga global.
Langkah itu, menurut PN boleh membantu kerajaan menyediakan subsidi, pelepasan cukai atau insentif kos bagi mengawal kesan kenaikan harga bahan api terhadap ekonomi keseluruhan.
PN juga menekankan keperluan ketelusan dalam mekanisme penentuan harga diesel termasuk aspek kadar pertukaran, kos, margin dan komponen fiskal yang membentuk harga akhir kepada pengguna.
Menurut kenyataan itu, harga diesel di Semenanjung kini berada dalam lingkungan RM5.52 hingga RM6.02 seliter manakala Sabah dan Sarawak kekal pada RM2.15 seliter.
PN turut membandingkan harga diesel Malaysia dengan beberapa negara jiran yang didakwa lebih rendah setakat 1 April lalu termasuk Thailand pada RM4.99 seliter, Indonesia antara RM1.60 hingga RM3.37 seliter, Vietnam RM5.40 seliter dan China RM4.80 seliter.
Menurut PN, jika harga diesel tempatan benar-benar mencecah RM6.02 seliter, Malaysia berisiko menjadi antara negara dengan harga diesel tertinggi di rantau ini walaupun merupakan negara pengeluar minyak dan gas. – MalaysiaGazette















