PUTRAJAYA – Orang ramai dijemput menghadiri “Himpunan Rakyat Bebas Bersuara” yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini pukul 10 pagi di hadapan Kementerian Komunikasi, Presint 4.
Menurut ahli perniagaan, Albert Tei, perhimpunan itu sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan yang didakwa menyekat akaun media sosial yang mengkritik pentadbiran semasa.
“Perhimpunan tersebut dianjurkan susulan rasa tidak puas hati terhadap tindakan yang disifatkan sebagai menyekat kebebasan bersuara rakyat, khususnya terhadap kandungan yang menyentuh kegagalan dan salah laku pihak kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau mendakwa, ketika berada di pihak pembangkang sebelum ini, pemimpin kerajaan lantang memperjuangkan hak kebebasan bersuara dan sering mengkritik pentadbiran terdahulu.
Namun, katanya, situasi kini berubah apabila mereka didakwa mengambil pendekatan bertentangan selepas memegang kuasa.
“Apabila mereka sudah berkuasa hari ini, mereka lupa prinsip perjuangan dan bertindak menindas suara yang menentang mereka,” katanya.
Tambah beliau, kebimbangan turut timbul apabila akaun media sosial miliknya berkemungkinan menjadi sasaran seterusnya.
Lantaran itu, beliau menyeru orang ramai untuk hadir sebagai tanda solidariti bagi mempertahankan kebebasan bersuara.
“Saya tidak tahu bila giliran akaun saya akan diusik. Jika saudara dan saudari mahu terus melihat kandungan saya, marilah hadir bersama-sama ke perhimpunan ini,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, himpunan tersebut bertujuan menghantar mesej jelas kepada kerajaan bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan yang didakwa mengekang suara kritikal dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, Presiden Parti Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali menyeru orang ramai berhimpun beramai-ramai menentang kenaikan harga minyak di depan Pasar Raya Sogo Ahad ini.
Katanya, 5 April bukan sekadar satu himpunan tetapi garis pemisah antara rakyat yang masih ada harga diri dengan mereka yang sudah reda hidup sebagai hamba tanpa suara. – MalaysiaGazette
















