JOHOR BAHRU – Seramai 15 pelajar dan tiga warden berdepan detik cemas selepas Maahad Tahfiz Sains Al Insyiriah di Taman Tampoi Utama di sini terbakar petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I Amimuzamam Aini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.35 petang.
Susulan itu katanya, seramai 20 anggota dibantu BBP Kempas serta satu jentera Fire Rescue tender (FRT), dua jentera Light Fire Rescue tender (LFRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan bangunan jenis kekal tiga tingkat. Kebakaran berlaku di tingkat tiga iaitu tempat penginapan pelajar dan guru.
“Seramai 15 pelajar dan tiga warden berjaya keluar dengan selamata sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, anggaran kemusnahan kira-kira 50 peratus dan operasi memadam kebakakaran selesai pada pukul 6.09 petang.- MalaysiaGazette
















