Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) telah melaksanakan pendekatan baharu dalam usaha menangani ketidaktentuan bekalan tenaga di pasaran global ketika ini, kata Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.

Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas itu berkata, syarikat minyak dan gas negara itu memendekkan perancangan hilirannya daripada tiga bulan kepada 45 hari bagi membolehkan tindak balas dengan lebih pantas dan berkesan kepada sebarang gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata, pelarasan itu merupakan sebahagian daripada langkah-langkah mitigasi segera yang dilaksanakan sebagai tindak balas kepada peningkatan risiko geopolitik global.

“Pendekatan kami yang berpandangan ke hadapan kini telah dipendekkan daripada tiga bulan hingga 45 hari untuk membolehkan kami menangani isu bekalan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikan pada program Bicara Naratif Khas bertajuk Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global Bersama yang disiarkan di TV1 dan RTMKlik malam ini.

Program tersebut dikendalikan moderator yang juga Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia, Ashwad Ismail.

Mengulas lanjt, Tengku Muhammad Taufik menambah, Petronas telah memperkukuh kesediaan operasinya merentasi keseluruhan rantaian nilai tenaga daripada perolehan mentah dan penapisan kepada logistik dan pengedaran produk seperti petrol, diesel, gas petroleum cecair dan bahan api jet.

“Di peringkat hiliran terutamanya dalam operasi penapisan, kami juga menyemak masa kerja penyelenggaraan untuk memastikan operasi kekal optimum sekiranya berlaku gangguan yang berpanjangan,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Malaysia telah memperoleh bekalan bahan api domestik sehingga akhir Mei ini sementara usaha mitigasi sedang dipergiatkan untuk memastikan bekalan berterusan selepas tempoh tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. petronas sudah kaya dah, tahun lepas sahaja revenue 226 bilion, untung 77 bilion (45 bersih + 32 royalti kat gomen) rakyat minta tambah sikit aje untuk tampung subsidi. kalau diesel kena seludup bukan salah rakyat tapi salah gomen tak pantau, ini lagi lah yak-yak yer penyeludup bila gomen keje duduk rumah aje. Bak kata orang alim, lagi banyak kamu beri lagi banyak tuhan akan bagi.

Comments are closed.