KUALA LUMPUR — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar menafikan wujud sebarang krisis atau perbezaan pandangan dalam gabungan itu berhubung pemilihan calon Ketua Pembangkang di Parlimen.
Beliau menegaskan, kelewatan pengumuman bukan berpunca daripada konflik dalaman, sebaliknya masih melalui beberapa proses yang perlu diselesaikan sebelum dimuktamadkan secara rasmi.
“Sabar dulu lah, kita tengoklah waktu yang terdekatnya lah, insyaAllah.
“Ia bukan masalah perbezaan pendapat tapi saya rasa sidang Parlimen pun lambat lagi pada bulan Jun dan kita ada banyak masa untuk membuat pertimbangan, jadi kita tunggu dahulu,” katanya.
Samsuri berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah & Syarahan Pimpinan Antarabangsa di Terengganu, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memaklumkan bahawa pelantikan Ketua Pembangkang di Parlimen masih belum diputuskan dan akan dibincangkan secara menyeluruh dalam kalangan parti komponen PN.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, tempoh untuk membuat keputusan tersebut masih panjang memandangkan sidang Parlimen hanya akan berlangsung pada Jun depan.
Menurut Samsuri, keutamaan ketika ini adalah menyelaraskan urusan dalaman gabungan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diumumkan.
Dalam sidang media sama, beliau turut enggan menetapkan sebarang garis masa khusus bagi pengumuman rasmi, sekali gus menepis spekulasi bahawa wujud ketidaksepakatan dalam PN.
“Saya tidak boleh nak sebut masa, nanti orang tunggu pula, dalam proses bila selesai semua akan maklum,” katanya.
Kenyataan itu memberi gambaran bahawa PN memilih pendekatan berhati-hati dan berperingkat dalam menentukan kepimpinan blok pembangkang menjelang persidangan Parlimen akan datang.
Setakat ini, gabungan tersebut masih belum mendedahkan sebarang nama secara rasmi, namun pimpinan tertinggi memberi jaminan bahawa keputusan akan diumumkan sebaik sahaja proses dalaman dimuktamadkan. — MalaysiaGazette
















