Fahmi Fadzil ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Negeri Johor di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Majlis Ekonomi Jingga (industri kreatif) akan dibentuk segera berikutan industri itu berpotensi membantu pertumbuhan ekonomi ketika negara berdepan krisis tenaga global.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Majlis Industri Kreatif itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan seketeriatnya adalah Kementerian Komunikasi.

“Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, diputuskan bahawa satu Majlis Ekonomi Jingga akan dibentuk dan akan ada beberapa jawatankuasa juga dibentuk di bawah inisiatif ini.

“Arahan telah diberikan kepada Kementerian Komunikasi untuk membentuk majlis ini pada kadar segera kerana kita jangka pada ketika krisis tenaga global sedang berlaku, sebenarnya industri kreatif adalah satu industri berpotensi untuk membantu pertumbuhan ekonomi dalam negara.

“Pada 2024, ekonomi jingga ataupun industri kreatif ini menyumbang 6.8 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Negeri Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengarah Kanan, Pejabat Wilayah Selatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Rizal Abd Malek.

Fahmi berkata, dengan keterlibatan prasarana atau infrastruktur seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dilengkapi dengan kemudahan internet laju, lebih ramai yang akan mendapat manfaat dan ia akan menjadi pekali kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“NADI mainkan peranan yang penting dengan adanya internet yang sangat laju yang dapat dimanfaatkan secara percuma oleh penduduk setempat.

“Dengan internet yang laju ini kita jangkakan banyak perkhidmatan yang baharu termasuk dalam sektor industri kreatif boleh diperluaskan,” katanya.

Apatah lagi, katanya, dengan adanya kecerdasan buatan (AI), ramai yang boleh berkecimpung dalam bidang tersebut sama ada dalam reka grafik untuk menghasilkan kandungan bagi tujuan disiarkan.

“Jadi, bagi Kementerian Komunikasi kita lihat memang NADI akan mainkan peranan yang penting dalam kita memacu pertumbuhan dalam sektor industri kreatif,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast