Beginilah keadaan motosikal mangsa yang dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Bukit Cherakah berhampiran Pusat Koreksional Puncak Alam, pagi Sabtu. Gambar: Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Bukit Cherakah berhampiran Pusat Koreksional Puncak Alam, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Suptrintan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 pagi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dipercayai dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat kerja di Klang,  sebelum terlibat dalam nahas tersebut.

Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh terlebih dahulu sebelum terseret ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi kanan sebuah SUV jenis Jetour yang datang dari arah hadapan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian abdomen dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalal kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta tidak melebihi had laju yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Azie Azyanti Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast