TAWAU – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu serta menunggang motosikal yang dilaporkan hilang dalam rondaan cegah jenayah di Lorong Muhibah BAL, Jalan Kuhara, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.30 pagi oleh pasukan Strike Team dari Balai Polis Tawau.
Menurutnya, suspek cuba melarikan diri ketika hendak diperiksa sebelum berjaya diberkas dengan penggunaan kekerasan minimum.

“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang salah, namun pemeriksaan lanjut ke atas beg silang yang dipakai menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan turut dijalankan ke atas motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang suspek.

“Hasil semakan mendapati motosikal itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan telah dilaporkan hilang pada 4 April lalu di daerah ini,” katanya.
Menurutnya, suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes pecah rumah itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette
















