SHAH ALAM – Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan mengemukakan dokumen tidak tulen bagi mendapatkan bayaran RM50,000 berkaitan kerja baik pulih sebuah kuil di Petaling, lima tahun lalu.
Tertuduh, M Thiruselvam, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menggunakan invois bertarikh 15 November 2021 dipercayai palsu sebagai dokumen tulen untuk membuat tuntutan bayaran bagi beberapa kerja.
Antaranya urusan kelulusan majlis serta pembaikan kebocoran di beberapa bahagian kuil berkenaan.
Dokumen itu didakwa diserahkan kepada seorang setiausaha kuil berusia 64 tahun pada 22 November 2021 di premis Kuil Sri Sakthi Easwari, Petaling.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding berasingan, bekas pengerusi kuil berkenaan, P Selvam, 70, turut didakwa bersubahat dalam tuntutan sama yang didakwa dilakukan pada tarikh dan lokasi serupa.
Beliau juga mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM15,000 oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes Selvam supaya dibicarakan bersama di hadapan Hakim Mohd Nasir pada tarikh yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi, manakala Thiruselvam diwakili peguam N Lalitha, manakala Selvam diwakili peguam M Segaran. – MalaysiaGazette
















