Victor Chin. - Foto: MMAG

KUALA LUMPUR – Ahli Perniagaan Victor Chin Boon Long memfailkan tindakan undang-undang terhadap pengasas Bestinet Sdn Bhd, Aminul Islam Abdul Nor, dengan mendakwa individu itu merupakan dalang sebenar di sebalik cubaan pengambilalihan NexG Bhd.

Katanya, writ saman di bawah fail WA-22NCvC-168-04/2026 itu menamakan Aminul sebagai defendan pertama.

“Saya menyaman beliau kerana mengenakan tekanan yang meluas kepada pihak penguatkuasaan, membekukan akaun, memaksa perubahan kepimpin dengan cara ancaman serta memberi tekanan kepada syarikat yang memiliki pegangan saham besar dalam NexG,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Menurut beliau, serangan terhadap NexG bermula pada Oktober 2025, tidak lama selepas syarikat itu memperoleh kontrak kerajaan bernilai RM2.46 bilion.

“Segala-galanya bermula di sini, ‘geng Mafia Korporat’ ini melakukan usaha terancang untuk merampas syarikat terutamanya menggunakan PDRM AMLA untuk mendapatkan kawalan ke atas NexG,” katanya lagi.

Tambah Victor, Aminul bertindak sebagai pengarah bayangan NexG seperti mana yang pernah didedahkan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Datuk Abu Hanifah Noordin.

Beliau turut mendakwa, Aminul terlibat dalam pelantikan nominee ‘Mafia Korporat’ ke dalam Lembaga Pengarah.

Aminul juga dakwa beliau cuba mengekstrak Harta Intelek NexG dan mengalihkan komponen teras kontrak kepada Heitech Padu melalui subkontrak, seperti yang dibangkitkan oleh Hanifah, sebelum ini.

“Berdasarkan dokumen-dokumen sokongan ini dan kronologi yang disediakan, saya percaya terdapat bukti yang kukuh untuk membuktikan saya tidak terlibat dalam sebarang rangkaian Mafia Korporat.

“Dakwaan yang dilemparkan terhadap saya hanyalah usaha untuk mengelirukan pihak berkuasa serta orang awam di samping percubaan untuk menjadikan saya ‘kambing hitam’, sedangkan saya juga adalah mangsa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Victor menegaskan beliau tidak terlibat dalam kontroversi lalu yang sering dikaitkan dengan label ‘mafia korporat, termasuk melibatkan Revenue Group Bhd, Caely Holdings Bhd (kini NexG Bina Bhd) dan MJets Air Sdn Bhd.

Beliau menjelaskan, isu melibatkan Revenue Group hanyalah pertikaian dalaman antara pengasas, manakala kes Caely Holdings berkaitan salah guna dana berjumlah RM30.55 juta berlaku sebelum penglibatannya.

Bagi MJets Air pula, Victor Chin berkata tindakan penguatkuasaan lebih tertumpu kepada pengendali syarikat berkenaan yang berdepan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Syarikat. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast