KUALA LUMPUR – Dakwaan pihak yang mengaitkan isu harga minyak dan geopolitik dengan tuduhan “umat Islam ditipu” perlu ditangani secara berhati-hati, berasaskan fakta sahih serta analisis bertanggungjawab, selari dengan prinsip tabayyun, keadilan dan keilmuan yang dituntut dalam Islam.
Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dalam menilai sesuatu maklumat dan kepimpinan, umat Islam tidak boleh mudah diperdaya, sebaliknya penggunaan istilah berat dalam ruang awam mesti disandarkan kepada fakta yang boleh diverifikasi agar tidak mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata, dalam konteks semasa, isu tenaga berkait rapat dengan realiti global termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat serta gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz yang memberi kesan kepada rantaian bekalan dan harga tenaga dunia.
“Situasi ini secara langsung menjejaskan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di pelbagai negara tanpa mengira latar politik atau mazhab.
“Sehubungan itu, ABIM menegaskan bahawa perbezaan pandangan terhadap dasar kerajaan tidak wajar disederhanakan kepada tuduhan penipuan tanpa analisis ekonomi yang kukuh kerana ia berisiko mengalihkan fokus daripada perbahasan dasar yang lebih substantif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan, ABIM mengiktiraf peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang yang penting, namun menekankan keperluan untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut secara berwibawa dengan cadangan dasar konkrit dan berasaskan fakta, bukan sekadar retorik.
Kerajaan pula, katanya, disaran untuk terus memperkukuh komunikasi dasar secara telus dan konsisten, memastikan pelaksanaan subsidi bersasar yang berkesan serta memperkasa keselamatan tenaga negara.
“Sebarang perubahan dasar juga perlu disertai penjelasan jelas bagi mengekalkan keyakinan awam.
“ABIM menyeru agar perbincangan awam difokuskan kepada usaha melindungi golongan rentan, menjamin keselamatan tenaga dan mengekalkan keseimbangan antara kebajikan rakyat serta kelestarian fiskal.
“Masyarakat juga digalakkan mengamalkan prinsip tabayyun serta bertanggungjawab dalam penyebaran maklumat,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang dan masyarakat diseru berganding bahu menghadapi krisis tenaga yang dijangka berpanjangan dengan memperkukuh semangat perpaduan nasional sebagai asas kekuatan negara.
Tambahnya, pengalaman pandemik Covid-19 membuktikan bahawa daya tahan negara bergantung kepada keupayaan rakyat untuk bersatu dan mengutamakan kepentingan bersama dalam mendepani cabaran global.
“Malaysia memerlukan budaya politik matang berteraskan ketepatan fakta, kejujuran dasar dan tanggungjawab bersama.
“Dalam keadaan krisis, disiplin fakta dan kejujuran intelektual bukan lagi pilihan tetapi keperluan asas dalam kepimpinan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















