Rampasan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) serta jentera di sebuah kilang haram dianggarkan bernilai RM18 juta menerusi Op Hazard di kawasan perindustrian Kampung Kepayang, Simpang Pulai, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 515 individu dan merampas barangan bernilai RM582 juta dalam Operasi Bersepadu Hazard 3.0 yang dilaksanakan di 11 negeri bermula 6 April lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sebanyak 110 serbuan telah dilaksanakan di seluruh negara dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 42 premis yang diserbu berstatus kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa e-waste secara haram.

“Seramai 2,147 pegawai dan anggota telah digerakkan dalam operasi ini merangkumi 1,429 anggota dan pegawai PDRM dan 718 anggota daripada agensi lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Secara keseluruhannya, sebanyak 223 kertas siasatan telah dibuka.

“Seramai 868 individu telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 515 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan warga tempatan serta pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 16 hingga 70 tahun,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail

Menurut beliau, tindakan kali ini lebih menyeluruh dengan penglibatan unit pencegahan pengubahan wang haram bagi memastikan rantaian kewangan sindiket dapat diputuskan sepenuhnya.

Menurutnya, dua kertas siasatan telah dibuka oleh AMLA PDRM yang melibatkan pembekuan tujuh akaun milik individu dan syarikat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM670,000.

Dalam masa sama, ujar beliau, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut membuka 24 kertas siasatan bagi mengesan sebarang ketirisan hasil serta pelanggaran undang-undang percukaian.

Jelasnya, operasi itu turut menyaksikan pengeluaran 144 kompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan nilai keseluruhan RM110,700.

Tambah beliau, operasi bersepadu berskala besar itu bukan sahaja mencatatkan kejayaan dari segi tangkapan, malah memberi tekanan hebat kepada pemain industri haram yang dikesan mengeksploitasi kelompongan perundangan sebelum ini.

“Pelaksanaan operasi ini telah memberi impak yang signifikan dalam memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kegiatan e-waste haram. Ia sekali gus mencerminkan peningkatan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan kita,” jelasnya.

Kesalahan yang dikesan melibatkan pelbagai peruntukan undang-undang, antaranya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Pelesenan Barang Lusuh 1946 serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast