KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak bagi bulan ini dan bulan depan masih dalam keadaan terkawal walaupun sebuah kapal tangki mengalami kerosakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, daripada tiga kapal yang membawa bekalan, dua telah melepasi perjalanan (Selat Hormuz) dengan selamat, manakala satu lagi kini tersadai di pelabuhan.
Menurutnya, perkembangan itu dimaklumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam taklimat tengah hari tadi, berhubung kemudahan pengangkutan dan logistik bekalan minyak negara.
Beliau berkata, Jemaah Menteri kini memantau situasi secara harian termasuk aspek penguatkuasaan bagi memastikan keadaan kekal stabil dan terkawal.
Mengulas isu harga bahan api, Anwar menegaskan kerajaan masih berusaha mengekalkan harga RON95 walaupun berdepan tekanan kewangan.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan beban rakyat, walaupun ia sedikit membebankan kerajaan dari segi kewangan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussa’adah, di Kampung Cheras Baru, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat memainkan peranan dengan mengawal penggunaan bahan api sebagai usaha bersama membantu menyelamatkan ekonomi negara.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan memutuskan untuk meneruskan pemberian subsidi diesel bagi mengelakkan tekanan berterusan terhadap rakyat, khususnya golongan yang terkesan dengan kenaikan kos bahan api.
Beliau menjelaskan, kenaikan harga diesel sememangnya memberi kesan kepada pelbagai pihak dan walaupun golongan peladang, petani dan nelayan telah menerima bantuan bersasar, masih terdapat sektor lain yang turut terjejas.
Sehubungan itu, katanya, beberapa kementerian kini sedang menjalankan kajian bagi mengenal pasti langkah terbaik untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh kumpulan-kumpulan terlibat.
Tambahnya, kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara sambil meneliti pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup. – MalaysiaGazette
















