Azrol Mansor

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam keras kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang memberi bayangan bahawa hukuman mati tidak wajar dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Ketua penerangannya, Azrol Mansor menegaskan, pendirian itu sebagai penghinaan kepada mangsa serta keluarga dan mencerminkan kegagalan moral dalam memahami keseriusan jenayah berkenaan.

Beliau berkata, insiden melibatkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa bukanlah kemalangan, sebaliknya merupakan pembunuhan akibat kecuaian melampau.

“Individu terbabit (pemandu mabuk) secara sedar memilih untuk melanggar undang-undang dan mempertaruhkan nyawa orang lain, sekali gus menjadikan mereka pelaku jenayah berat bukan mangsa keadaan.

“Perkasa menyifatkan penolakan terhadap hukuman mati sebagai satu mesej berbahaya kepada masyarakat kerana ia seolah-olah memberi isyarat bahawa nyawa rakyat tidak cukup bernilai untuk dipertahankan melalui hukuman paling tegas, selain berpotensi membuka ruang kepada lebih banyak tragedi,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, media melaporkan Anthony dipetik berkata, tiada keperluan untuk memperkenalkan hukuman mati dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Menurut laporan itu Loke memberitahu, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mendakwa kesalahan serius dan pesalah masih boleh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika berkaitan.

Dalam pada itu, Azrol turut mempersoalkan pendekatan kerajaan yang dilihat lebih lunak terhadap pesalah berbanding mangsa, sambil menuntut keadilan bagi mereka yang terkorban tanpa sebab akibat kecuaian pihak lain.

Perkasa menganggap kenyataan tersebut sebagai satu kegagalan kepimpinan yang serius terutama ketika rakyat berdepan ancaman keselamatan di jalan raya dan menyifatkannya tidak mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam melindungi keselamatan awam.

Sehubungan itu Perkasa menggesa kerajaan supaya menarik balik pendirian berkenaan serta-merta, mengekalkan hukuman maksimum termasuk hukuman mati sebagai opsyen bagi kes melibatkan kematian akibat pemandu mabuk serta memperketatkan undang-undang tanpa kompromi agar pesalah menerima hukuman setimpal.

Selain itu, Perkasa menuntut agar menteri berkaitan tampil memberi penjelasan dan bertanggungjawab atas kenyataan yang mencetuskan kemarahan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast