Datuk N Sivakumar

KUALA LUMPUR – Golongan yang menyemarakkan sentimen perkauman dan keagamaan sehingga mencetuskan permusuhan antara masyarakat perlu dianggap sebagai ‘toksik’ yang mengancam keharmonian negara.

Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N. Sivakumar berkata, Malaysia tidak pernah menghalang mana-mana individu mengamalkan agama masing-masing malah kebebasan beragama perlu terus dihormati dalam masyarakat majmuk.

Katanya, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bulan ini, rakyat seharusnya memperkukuh semangat perpaduan dan patriotisme bukannya membiarkan sentimen perkauman serta keagamaan merosakkan hubungan sesama masyarakat.

“Yang mencemarkan keadaan ialah segelintir pihak yang cuba merosakkan kemuhibaan dan memutuskan hubungan antara satu sama lain.

“Budaya dan agama tidak pernah menjadi penghalang untuk kita hidup dalam suasana saling menghormati.

“Tetapi naluri rasis dalam diri segelintir individu boleh menjadi toksik kepada masyarakat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sivakumar berkata, kebimbangan lebih besar timbul apabila sentimen kebencian, buli dan perkauman mula mempengaruhi kanak-kanak sehingga perkara yang sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan murid sekolah menjadi semakin serius.

Beliau berkata, kes kematian pelajar yang dikaitkan dengan isu buli baru-baru ini sepatutnya menjadi peringatan bahawa kebimbangan yang disuarakan sebelum tragedi berlaku tidak boleh dipandang ringan.

Sivakumar turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang hanya tampil bersuara selepas beliau lantang membangkitkan isu kematian pelajar dan masalah buli yang berlaku.

Beliau berkata, isu buli, perkauman dan kebencian dalam kalangan pelajar bukan perkara baharu dan sudah terlalu banyak kes berlaku sebelum ini.

“Persoalannya, mengapa kita masih perlu menunggu sehingga ada yang kehilangan nyawa? Bukankah dari awal lagi kita sudah melihat tanda-tanda masalah ini?

“Jangan hanya tampil apabila keadaan sudah menjadi parah. Tindakan pencegahan perlu dilakukan dari awal kerana setiap kes buli yang dibiarkan boleh menjadi lebih serius,” katanya.

Sivakumar berkata, semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, kerajaan dan pemimpin politik perlu mengambil tanggungjawab untuk memutuskan rantaian kebencian serta budaya buli yang semakin membimbangkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here