Datuk Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA — Kerajaan memberi bayangan mekanisme subsidi diesel bakal melalui penstrukturan semula apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kewangan (MOF) meneliti segera proses penyasaran subsidi berkenaan.

Arahan itu disahkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang memaklumkan perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini susulan keputusan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam.

“Perdana Menteri telah meminta pihak Kementerian Kewangan untuk meneliti segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisme seperti yang telah dilaksana bagi Budi 95.

“Dan pihak Kementerian Kewangan akan diminta untuk membentangkan dalam sama ada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ataupun mesyuarat Jemaah Menteri dalam minggu yang akan datang,” katanya dalam taklimat khas krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Menurut jurucakap kerajaan itu, langkah berkenaan dilihat sebagai usaha memperkemas sistem subsidi agar lebih tersasar serta mengurangkan ketirisan dengan model BUDI95 dijadikan rujukan bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

Isyarat terbaharu ini sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk menstruktur semula pendekatan subsidi bahan api dalam suasana ketidaktentuan pasaran tenaga global yang terus memberi tekanan kepada fiskal negara.

Dalam perkembangan sama, mesyuarat Kabinet turut meneliti aspek biodiesel sebagai sebahagian daripada strategi tenaga negara termasuk keputusan meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15.

“Jemaah Menteri juga hari ini telah meneliti aspek biodiesel di mana kadar adunan biodiesel telah diputuskan akan ditingkatkan dari B10 kepada B15 bermula dengan adunan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan dari pihak kerajaan dan hanya menggunakan infrastruktur pengadunan biodiesel sedia ada,” jelas Fahmi.

Beliau berkata, peningkatan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan adunan B12 sebelum mencapai B15, tanpa menambah beban kewangan kepada kerajaan.

Menurutnya lagi, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad telah memaklumkan infrastruktur sedia ada bagi biodiesel B20 kini terdapat di seluruh Negeri Sarawak kecuali di Bintulu, selain turut tersedia di Labuan dan Langkawi.

“Kerajaan akan meneliti langkah-langkah seterusnya dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan melakukan satu lawatan ke premis untuk melihat bahan asas bagi tujuan pengadunan biodiesel pada hari Sabtu ini,” katanya. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast