Pemandu bas ekspres dan kekasihnya yang tular melakukan aksi meriba ketika dalam perjalanan ke Johor, Ahad lalu direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Jasin, hari ini.

JASIN – Pemandu bas ekspres dan kekasihnya yang tular melakukan aksi meriba ketika dalam perjalanan ke Johor, Ahad lalu direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Jasin, hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 36 tahun dan wanita 21 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin bermula hari ini sehingga Ahad.

Ia bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan polis menahan pasangan itu ketika hadir bersama di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin kira-kira pukul 4.30 petang semalam, menaiki sebuah kereta Proton Persona untuk memberi keterangan.

Ia selepas kejadian pada 12 April lalu tular sehari kemudian menerusi video berdurasi lapan saat yang dirakamkan penumpang bas ekspres berkenaan sehingga mencetuskan kemarahan serta kebimbangan orang ramai.

Ketika kejadian, bas berkenaan membawa kira-kira 20 penumpang dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru.

Aksi lelaki itu meriba kekasihnya dipercayai berlaku di kawasan susur masuk R&R Bemban, Jasin arah selatan kira-kira pukul 7.30 malam Ahad lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast