KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan sempena Aidilfitri berjumlah RM18.171 juta kepada 38,850 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, dengan setiap penerima menerima RM500.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, selain bantuan tunai tersebut, MAIWP turut menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM138,000 melibatkan 400 ketua keluarga dan 200 kanak-kanak sebagai usaha berterusan meringankan beban golongan asnaf.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya menjadi simbol harapan serta menyemai rasa kebersamaan dalam masyarakat.
“Setiap agihan zakat membawa harapan, menyentuh kehidupan dan menghidupkan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Asnaf 2026 di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

Tambah beliau, MAIWP turut memperkukuh impak agihan zakat melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan peruntukan keseluruhan RM3.136 juta bagi melaksanakan program kebajikan, pendidikan dan dakwah kepada golongan memerlukan.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, setiap bantuan yang disalurkan disertai doa dan harapan agar golongan asnaf terus dibela serta diperkasa.
“Syawal bukan sekadar tentang sambutan, tetapi tentang berkongsi rezeki, menyemai kasih sayang dan memastikan tiada yang terpinggir daripada merasai kemeriahan Aidilfitri,” katanya.

Beliau turut menegaskan program berkenaan mencerminkan iltizam MAIWP dalam memastikan nikmat Syawal dapat dirasai oleh semua, khususnya golongan asnaf agar mereka diraikan dengan penuh penghargaan.
Menurutnya, setakat ini MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM257,069,178 dana zakat meliputi 38 skim bantuan serta program pembangunan asnaf termasuk melalui institusi pendidikan di bawah agensi itu. – MalaysiaGazette
















