Pasukan bomba sedang membawa keluar mangsa tersepit dalam kemalangan jalan raya babitkan dua kenderaan di Kampung Lubok Chapin, di Kuala Kangsar. Foto JBPM Perak.

KUALA KANGSAR – Dua wanita warga emas maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah van di Jalan Lama Hala Kati, Kampung Lubok Chapin, di sini hari ini.

Mangsa, Ang Sau Mooy, 69, dan adiknya, Ang Siew Luan, 67, yang menaiki kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.38 petang.

Katanya, sejurus selepas itu 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan dua kenderaan dan empat mangsa, dengan dua daripadanya yang berada dalam kereta Myvi maut di lokasi kejadian.

“Sementara dua mangsa yang menaiki Van Nissan Vanette mengalami kecederaan akibat tersepit, masing-masing lelaki berusia 29 tahun dan wanita lingkungan 60-an,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut.

“Pihak bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan hidraulik ke atas “Dua mangsa yang tersepit dalam van dan mangsa maut.

“Mayat kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Mahir Mat Saad itu tamat pukul 4.09 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast